Mourinho dilihat gagal menahan perasaannya itu selepas Marouane Fellaini menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan, sekali gus memastikan The Red Devils menjamin tempat ke sai-ngan 16 pasukan terbaik.

Reaksinya itu mengundang persoalan ramai pihak yang hairan kerana pengurus yang dikenali dengan sikap panas baran tersebut sekali lagi berkelakuan liar dan aneh.

Bagaimanapun, Mourinho menjelaskan bahawa tindakannya menghempaskan sebekas air minuman tersebut adalah sebagai reaksi spontan sahaja.

“Ia reaksi kepada perasaan lega dan juga kecewa,” jelas Mourinho.

“Saya rasa kami tidak layak menang, malah kami juga tidak layak untuk seri. Kami berdepan dengan kesukaran sehinggalah gol kemenangan hadir pada minit-minit terakhir.

“Ia sesuatu yang amat mengecewakan,” ujarnya.

Mourinho pada mulanya dilihat hanya menendang sebekas minuman tersebut sebelum mengambilnya kembali.

Namun, dia sekali lagi hilang kawalan dan menghumbannya ke atas padang.

Ini bukan kali pertama Mou-rinho berkelakuan ganas sedemikian.

Pada 2016, beliau pernah dibuang padang ketika United seri dengan West Ham kerana menyepak sebotol air minuman selepas tidak berpuas hati apabila Paul Pogba dilayangkan kad kuning kerana menjatuhkan badan. – Agensi