JIN WEI sedar Malaysia berdepan laluan sukar menentang China dan
JIN WEI sedar Malaysia berdepan laluan sukar menentang China dan Indonesia, namun yakin skuad negara mampu mara ke suku akhir Piala Uber di Bangkok, Thailand Mei depan.

Apa tidaknya, mereka perlu melepasi halangan China, Indonesia dan Perancis pada saingan Kumpulan D sekiranya mahu melangkah ke peringkat suku akhir.

Walaupun peluang kelihatan tipis buat Malaysia, namun pemain perseorangan wanita No.1 negara, Goh Jin Wei tetap mengakui ia tidak mustahil jika semua pemain menampilkan aksi terbaik.

“Bercakap mengenai peluang ke suku akhir, bagi saya ia tidak mustahil walaupun kelihatan sukar. Apa yang penting, semua pemain perlu bekerja keras serta tidak mudah mengaku kalah apabila beraksi.

“Selain itu, jangan terlalu fikir mengenai kekuatan lawan walaupun kita sedar mereka sangat kuat. Kita perlu bermain seperti biasa dan beraksi sebagai underdog sahaja,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara baru-baru ini.

Mengulas mengenai kemungkinan diturunkan selaku perseorangan utama negara pada kejohanan dwitahunan tersebut, bekas juara remaja dunia itu menegaskan, dia sudah bersedia untuk menggalas tugas berkenaan.

“Sudah tentu saya bersedia jika diturunkan sebagai perseorangan utama. Bukan saya sahaja yang perlu bersedia, malah pemain-pemain lain juga perlu mengambil pendekatan sama kerana saingan kali ini sa­ngat sukar.

“Undian kali ini cukup sukar tetapi halangan utama adalah China kerana mereka memiliki tiga pemain perseorangan yang sangat baik selain diperkuatkan beregu wanita No.1 dunia,” tambah Jin Wei.

Pada edisi dua tahun lalu di Kunshan, China, skuad Piala Uber negara sekadar menamatkan cabaran di peringkat kumpulan apabila berada di kedudukan ketiga di belakang China dan Denmark.