Juara perseorangan wanita remaja dunia itu mudah menyingkirkan pemain Taiwan, Chiang Ying Li menerusi aksi straight set 21-9, 21-6 pada saingan suku akhir yang berlangsung semalam.

Jurulatih perseorangan wanita kebangsaan, Rony Agustinus gembira dengan aksi yang ditampilkan anak buahnya itu pada perlawanan semalam, lebih-lebih lagi Jin Wei memberikan sepenuh fokus sehingga ke mata ­ter­akhir.

“Setakat ini Jin Wei menampilkan aksi yang cukup bagus dan saya harap dia akan kekalkan prestasi seperti ini sepanjang kejohanan berlangsung. Satu kemenangan yang dilihat mudah untuk Jin Wei hari ini (semalam).

“Memang kita lihat dia berjaya memenangi perlawanan kurang 30 minit, tetapi apa yang paling penting adalah untuk fokus terhadap satu demi satu mata. Kita tidak mahu pemain memandang rendah ke­upayaan lawan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa sama, bekas pemain Indonesia itu mengakui kejayaan Jin Wei merangkul gelaran remaja dunia buat kali kedua menyuntik motivasi serta memberi keyakinan baharu buat pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut.

Bagaimanapun, beliau berharap Jin Wei tidak mudah mendabik dada memandangkan saingan di peringkat se­nior lebih sukar berbanding dengan kejohanan-kejohanan remaja yang disertai sebelum ini.

“Saya percaya kejayaan merangkul gelaran remaja dunia memberikan motivasi untuk dirinya, tetapi dia perlu sedar ini bukan pentas junior. Tekanan pasti berbeza tetapi jika dia bermain seperti biasa, tidak ada masalah,” ujarnya.

Jin Wei berdepan cabaran sukar pada aksi separuh ­akhir hari ini apabila bakal me­ngadakan perhitungan dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 yang juga bekas pemain No.1 dunia dari China, Li Xuerui.