ABDUL AZIM
ABDUL AZIM

Situasi tersebut diakui ketua kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi (gambar kecil) yang mendedahkan, beberapa pegawai kontinjen pasukan lain turut menyuarakan kebimbangan berhubung kesan je­rebu sejak mereka tiba di Jakarta pada Rabu lalu.

Menurut paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) di ibu kota republik berkenaan, keadaan jerebu sudah mencecah angka 103 dan ia merupakan bacaan kualiti udara tidak sihat.

Justeru, Abdul Azim mengingatkan barisan atlet negara yang tiba di Wisma Atlet Kemayoran minggu ini supaya dapat mencegah sebarang masalah kesihatan sekali gus beraksi pada tahap sebenar pada hari pertandingan nanti.

“Saya tidak nafikan ada mendengar kebimbangan yang disuarakan oleh negara-negara lain mengenai tahap jerebu di sini tetapi sebagai negara jiran, kita masih anggap ia terkawal selagi belum mencecah tahap berbahaya.

“Kita juga menasihatkan kepada semua atlet dan pegawai agar minum air secukupnya sepanjang berada di sini khususnya ketika menjalani latihan sehingga tiba pada hari pertan­dingan nanti.

“Pada masa sama, kita me­minta agar setiap atlet menga­wal suhu penyaman udara di bilik penginapan mereka agar tidak terlalu sejuk kerana bimbang perbezaan cuaca ketara boleh mengundang selesema,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Difahamkan, kebakaran hutan yang melampau di wilayah Riau, Sumatera dan Pontianak, Kalimantan sejak seminggu lalu telah menyebabkan jerebu melanda di Jakarta dan Kepulauan Jawa.

Pihak berkuasa tempatan berusaha keras untuk mema­dam kebakaran tersebut termasuk meletupkan bom air serta garam di lokasi terjejas, namun ia masih belum berjaya sepenuhnya.