Pemain-pemain berkenaan dilihat berada di daerah pelacuran di Jakarta sambil memakai jersi negara pada minggu lalu, kata pegawai JOC pada satu sidang akhbar sambil menambah, mereka diarah pulang dengan segera.

Berita pengusiran Yuya Naga­yoshi, Takuya Hashimoto, Takuma Sato dan Keita Imamura memalukan Jepun yang sebelum ini terpaksa menghantar pulang seorang perenang pada Sukan Asia 2014 kerana mencuri kamera seorang wartawan.

“Saya berasa malu,” kata Ketua Kontinjen Jepun, Yasuhiro Yama­shita kepada pemberita.

“Kami benar-benar meminta maaf dan akan memberikan nasihat menyeluruh kepada atlet kami mulai sekarang,” tambahnya.

Menurutnya, keempat-empat pemain bola ke­ranjang itu makan malam selepas meninggalkan Perkampungan Sukan dan dipercayai dirayu oleh samseng-samseng di jalanan supaya pergi ke sebuah hotel bersama beberapa pelacur.

“Kami akan memutuskan hukuman yang wajar terhadap mereka sebaik sahaja kami mendengar semua fakta. Kami perlu be­kerja lebih keras bagi memastikan skandal ini tidak akan berlaku lagi,” tegasnya. – AFP