Kecemerlangan penjaga gol Jepun, Yusuke Takano dalam menafikan pukulan shoot-out daripada Malaysia memastikan penantian emas pertama Sukan Asia sejak acara tersebut diperkenalkan pada edisi 1958 berterusan.

Lebih malang, kekalahan tersebut menyaksikan impian skuad Malaysian Tigers (ke-12 dunia) untuk meraih slot automatik ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo tidak kesampaian.

Keputusan meraih pingat perak sekali gus menyamai rekod terbaik skuad hoki negara dalam kempen Sukan Asia yang dilakukan pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Pada perlawanan tersebut, gol Malaysia diperoleh menerusi Razie Rahim pada minit kelima, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (m-10, m-11, m-58), Faizal Saari (m-16), Muhammad Amirol Aideed Arshad (m-49).

Skuad Samurai Biru (ke-16 dunia) yang sudah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik 2020 atas kapasiti pasukan tuan rumah meraih gol hasil penyudah Seren Tanaka pada minit kelapan dan Kenta Tanaka (m-22, m-53), Kaito Tanaka (m-52), Koji Yamasaki (m-57) dan Hiromasha Ochiai (m-59).

Sebagai rekod, Persekutuan Hoki Malaysia sebelum ini telah meletakkan sasaran untuk skuad hoki lelaki mencipta kejutan meraih pingat emas pada temasya edisi ke-18 ini.

Pingat gangsa acara hoki lelaki Sukan Asia 2018 menjadi milik India yang menewaskan musuh tradisi, Pakistan 2-1.

Selepas ini Malaysia bakal menyertai Trofi Juara-juara Asia 2018 di Oman pada Oktober ini sebelum beraksi dalam Piala Dunia 2018 di India pada 28 November hingga 16 Disember depan.