Ayam tambatan Ferrari tersebut merekodkan masa ujian musim sejuk tersebut dengan catatan 1:20.396 saat (s) menggunakan tayar medium sekali gus meninggalkan jarak 20s ke atas pemandu Mercedes, Valtteri Bottas yang mencatatkan masa terbaik menggunakan tayar lembut dan pemandu Red Bull, Max Verstappen (tayar medium).

“Ia sesi ujian yang baik. Kami berjaya dengan program yang dirancang meskipun dalam keadaan kurang baik,” kata Vettel.

Sementara itu, juara dunia F1 empat kali, Lewis Hamilton hanya mencatat­kan masa di kedudukan keempat terbaik iaitu ke­tinggalan 0.412s berban­ding Vettel pada sebelah pagi yang menggunakan tayar lembut memastikan tiga gergasi F1 terus meng­ungguli catatan masa terbaik ujian pramusim.

“Saya fikir ia saingan tiga penjuru sesama pasukan gergasi F1. Kami mempunyai situasi buruk dan baik. Apa yang dapat saya saksikan, meskipun bukan situasi yang baik kerana bukan berada di kedudukan pendahulu tapi kami tidak ketinggalan terlalu jauh,” jelas ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff.

Sementara itu, pasukan McLaren yang berubah angin daripada menggunakan enjin Honda kepada Renault musim ini masih dibelenggu kemelut prestasi apabila jentera pasukan terbabit berdepan masalah sebanyak tiga kali pada ujian pramusim kali ini.

Jentera yang dipandu Stoffel Vandoorne gagal berfungsi dua kali akibat masalah sistem elektrik pada sebelah pagi iaitu sekali di garaj dan satu lagi di litar sebelum kerosakan hidraulik memaksa McLaren menamatkan sesi ujian pramusim lebih awal semalam.

“Situasi ini sudah pasti bukan drama. Ia hanya ujian dan kami perlu memaksa prestasi jentera semaksimum mungkin malah diuji dalam pelbagai situasi bagi melakukan pelarasan terbaik. Kadang kala menjadi, kadang kala gagal,” tegas Pengarah Teknikal McLaren, Eric Boullier. – Agensi