Kelibat penyerang bintang Harimau Malaya itu sudah pastinya menjadi tumpuan apabila skuad Harimau Selatan melayan kunjungan juara Piala Malaysia, Perak di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam ini.

Keua Jurulatih JDT, Luciano Figueroa berkata, pasukan Harimau Selatan akan membariskan kesebelasan terbaik untuk menentang The Bos Gaurus.

“Ya, Akhyar kini dalam prestasi terbaik dan sudah pastinya kita akan menurunkan beberapa pemain baharu untuk digandingkan dengan Safawi Rashid.

“Akhyar dan Safawi adalah pemain fantastik, kita berharap mereka akan memberikan satu persembahan yang bagus malam esok (malam ini).

“Ia adalah kombinasi terbaik untuk kita memastikan permulaan Liga Super musim ini memihak kepada JDT sekali gus kita kekalkan Piala Sumbangsih di sini,” katanya.

Mengulas lanjut persediaan perlawanan malam ini, Figueroa berkata, pasukannya sudah bersedia 100 peratus untuk mengutip tiga mata penuh.

“Perak merupakan pasukan yang kuat, kita tahu mereka menjuarai Piala Malaysia musim lalu, jadi mereka mempunyai semangat berkobar-kobar untuk merangkul piala ini.

“Kita akan lawan habis-habisan dan kita tidak rela ditewaskan pasukan lawan,” katanya.

Dalam pada itu, kapten pasukan JDT, Harris Harun turut menyifatkan perlawanan malam ini bukan satu pertembungan mudah.

“Setiap tahun kita melakar kejayaan dan musim ini kita tidak boleh berasa selesa, sebaliknya kena terus meningkatkan lagi prestasi pasukan kita,” katanya.

Musim lalu, JDT merangkul Piala Sumbangsih apabila berjaya menewaskan Kedah 2-1.