Longhi menegaskan, para pemainnya akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut dalam usaha JDT me­raih tiga mata berharga pada kempen Piala AFC tersebut.

Katanya, pasukan JDT memiliki kelebihan terutamanya dari segi moral apabila beraksi di hadapan para penyokong di laman sendiri di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

“Kami mesti menang malam ini untuk meraih tiga mata pertama, sekali gus mengorak langkah mara ke pusingan seterusnya.

“Namun, kami tetap berwaspada dengan pasukan lawan kerana mereka datang membawa misi tersendiri,” katanya pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.

Longhi berkata, sesiapa yang diturunkan beraksi malam ini merupakan pemain terbaik dan mereka harus mempamerkan aksi menakjubkan untuk meraih kemenangan.

Sementara itu, kapten skuad Harimau Selatan, Safiq Rahim menyeru rakan-rakan se­pa­su­kan­­nya agar turun dengan aura positif dalam memastikan keja­yaan milik JDT nanti.

“Tidak kira siapa yang diturun­kan malam esok (hari ini) kita perlu bermain dengan baik dalam misi mencari tiga mata penuh.

“Saya berharap rakan-rakan dapat menterjemahkan taktikal dan rancangan yang telah diatur jurulatih,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ketia­daan bekas jurulatih, Ullisses Morais dan pemain import, Jorge Pereyra Diaz mampu menjejaskan pasukan, Safiq menegaskan, pada masa ini seluruh pemain serta pegawai JDT sangat harmoni dan kerjasama semain utuh.