Kemenangan kedua musim ini menyaksikan skuad kendalian Ulisses Morais terus unggul menerajui carta liga dengan enam mata.

Bagaimanapun, JDT terpaksa menunggu hingga minit ke-43 bagi membuka tirai jaringan menerusi penyerang berbisa dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz selepas menyambar hantaran Luciano Figueroa.

Gol kedua skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu dijaringkan Mohammad Fadhli Shas selepas menanduk masuk sepakan penjuru ketua pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-57.

Pemain tengah JDT, Natxo Insa menambah derita PKNP FC apabila meledak gol ketiga tuan rumah pada masa kecederaan.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan diikat 1-1 oleh musuh tradisi, Terengganu Football Club I (TFC I) sekali gus gagal melakar kemenangan sulung musim ini.

Skuad The Red Warriors terlebih dulu ketinggalan 0-1 seawal minit kedua menerusi jaringan pemain import TFC I, Kipre Tchetche.

Bagaimanapun, Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain kelahiran Korea Selatan, Do Dong-hyun pada minit ke-39 dan keputusan kekal hingga tamat perlawanan.