Tunku Ismail yang ber­ucap pada sambutan kejua­raan Liga Super malam kelmarin memberitahu, beliau akan melakukan apa sahaja bagi memastikan senyuman terus terukir pada bibir para penyokong JDT.

“Anda (penyokong) adalah sebab mengapa saya rela berkorban segala-galanya pada setiap tahun untuk memastikan senyuman yang berada di sini (para penyokong di Dataran Majlis Bandar Raya Johor Bahru) sentiasa tersenyum lebar,” katanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail secara keseluruhannya melahirkan rasa puas hati dengan prestasi skuad Harimau Selatan sepanjang kempen Liga Super pada musim ini.

“Dalam kehidupan, kita sentiasa diberikan peluang dan pada saya, sekali-sekala kalah dalam perlawanan atau ada benda tidak jadi, namun apa yang penting adalah gambaran yang lebih besar iaitu kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut.

“Bagi saya, 50 peratus kejayaan lebih baik daripada 100 peratus kehampaan,” katanya.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, para pemain serta pihak pengurusan JDT yang bertungkus lumus sepanjang musim merea­lisasikan kejayaan tersebut.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pemain dan keseluruhan pengurusan kelab JDT. Bagaimanapun, apa yang penting ialah saya berterima kasih kepada anda (penyokong) semua,” katanya.