Atas kertas, Jordan tampil sebagai pasukan pilihan apabila memegang status pemenang tempat ketiga edisi pertama pada 2013 berbanding pasukan negara yang membuat debut di Kejuaraan AFC B-23 tahun ini.

Malah, mereka sempat memperlekehkan kemampuan skuad muda dengan berhajat mahu ‘berpesta gol’ sehari sebelum sepak mula perlawanan itu tetapi jangkaan mereka meleset apabila terpaksa berhem­pas pulas untuk mengekang kemaraan skuad muda negara.

Kejayaan mengikat Jordan ternyata menjadi satu kepuasan buat ketua jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee (gambar kecil) tetapi pada masa sama, beliau menuntut anak-anak buahnya tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan meraih satu mata pertama di pentas Kejua­raan AFC B-23.

Ini kerana pengendali kelahiran Melaka itu meng­anggap peluang negara untuk layak ke pusingan suku akhir Kejuaraan AFC B-23 bergantung kepada aksi terakhir bertemu Arab Saudi di Stadium Kunshan, Selasa ini.

“Sebelum perlawanan, tiada siapa memberikan harapan kepada kita. Saya tahu kita dipandang rendah dan ramai juga me­ngatakan kita akan tewas, dibelasah tetapi hari ini (semalam) pemain membuktikan mereka mempu­nyai kepercayaan yang cukup luar biasa.

“Ini juga membuktikan walaupun pemain-pemain Jordan lebih baik tetapi dengan corak taktikal berkesan. Kita mampu mendapatkan keputusan baik apabila bermain de­ngan Jordan. Kita boleh membuktikan Malaysia boleh bersaing dan hampir melakukan kejutan.

“Menerusi keputusan ini bukan kita mahu berme­gah, kita mempunyai satu perlawanan lagi dan saya percaya perlawanan menentang Arab Saudi akan menentukan siapa akan la­yak (ke pusingan suku akhir Kejuaraan AFC B-23),” katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Dalam aksi itu, skuad kendalian Iain Brunskill membuka tirai perlawanan menerusi jaringan Ward Al Barri pada minit ke-16 sebelum penyerang negara, Safawi Rasid menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-43.