Perlawanan menentang pasukan bimbingan Iain Brunskill bakal menjadi penentu perjuangan buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dalam kempen Piala AFC B-23 2018 China.

Skuad muda negara tewas 1-4 kepada juara edisi pertama, Iraq dalam aksi pembukaan Kumpulan C Rabu lalu, tetapi Cheng Hoe menasihatkan pemain-pemain muda negara tidak seharusnya tertekan de­ngan keputusan tersebut.

Sebaliknya, bekas jurulatih Kedah itu me­negaskan, pasukan muda negara tidak perlu rasa ada hormat kepada pasukan lawan khususnya Jordan kerana Cheng Hoe optimis skuad kendalian Kim Swee memiliki keupayaan untuk melakukan kejutan.

“Apa yang pen­ting pemain-pemain turun dengan keyakinan tinggi, jangan terlalu tertekan dengan kekalahan besar kepada Iraq. Dalam bola sepak jika pemain itu turun dengan satu keyakinan dan bermain sebagai satu pasukan, saya yakin bukan mudah pasukan lain mahu menang dengan kita.

“Malah kemungkinan kita juga boleh menang dengan pasukan lawan dan seperti yang dikatakan, kita tidak boleh terlalu hormat pasukan lawan kerana kita juga datang dengan persediaan terbaik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Merrylands Traders, Changshu semalam.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe menganggap pemain-pemain muda negara telah meraih pengalaman cukup berguna sepanjang bermain di pentas Kejuaraan AFC B-23.

Katanya, mereka harus bijak memanfaatkan peluang itu selain berusaha keras untuk bersaing dengan pasukan-pasukan elit dalam kejohanan berprestij tinggi di peringkat usia tersebut.

“Memang kalau kita te­ngok dari segi kualiti (AFC B-23) memang cukup tinggi. Pada pusingan akhir, kebanyakan pasukan membuat persediaan terbaik (tetapi) pemain-pemain negara juga memberikan satu tentangan yang hebat.

“Saya rasa ini adalah pengalaman terbaik dalam pentas Asia demi masa depan pemain-pemain negara sendiri.

“Memanglah mana-mana pasukan atau negara sekali pun, pemain-pemain B-23 adalah masa depan negara. Mereka dapat belajar banyak dan merasai pengalaman cukup baik sepanjang bermain di sini.

“Setiap kali bermain di kejohanan berkompetitif tinggi, pemain akan belajar sesuatu. Saya harap pemain-pemain B-23 tidak akan berhenti belajar sesuatu yang terbaik se­perti mereka perlu meningkatkan ilmu dari segi teknikal, fizikal serta mentaliti. Saya berharap pemain-pemain ini dapat main bola sepak lebih bagus untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” ujarnya.