Syed Saddiq berkata, selain itu kementeriannya telah mengadakan perbinca­ngan dengan polis negara berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai keselamatan atlet yang mengambil bahagian dalam temasya dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

“Sebelum ini saya ke Indonesia melakukan tinjauan di Palembang dan Jakarta, saya sempat berjumpa dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo dan menterinya berbincang isu keselamatan (bersempena Sukan Asia).

“Mereka berjanji untuk memastikan keselamatan atlet kita terjamin. Bebe­rapa perkara perlu diperhalusi, antaranya saya dimaklumkan PDRM akan pergi lebih awal ke Indonesia bagi mendapatkan taklimat lanjutan,” katanya ketika ditemui pemberita pada kayuhan Maju Expressway (MEX Ride 2018) di Seri Kembangan semalam.

Berkenan berangkat menyertai kayuhan itu ialah Raja Muda Selangor, Tengku­ Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut menyertai kayuhan tersebut ialah jaguh lumba trek negara, Azizulhasni Awang.

Jaminan keselamatan itu dianggap penting memandangkan beberapa insiden membabitkan pasukan Malaysia di negara itu dengan yang terbaharu pada 12 Julai apabila para pemain bawah 19 tahun (B-19) dilontar botol dan batu semasa kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Stadium Gelora Delta Sidorajo, Surabaya.

Dalam pada itu, mengenai kekecohan pada perlawanan persahabatan skuad B-23 antara Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Jumaat lalu, Syed Saddiq berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

“Kita akan bertegas, ia tidak sepatutnya berlaku. Pihak kerajaan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan pastikan isu ini diselesaikan dengan baik,” katanya.

Insiden pergaduhan itu berlaku pada tempoh kecederaan babak kedua selepas pemain UAE, Mohamed Khalfan Al-Harazi mengasari pemain negara dan ia mencetuskan tindak balas.

Berikutan itu, UAE telah menggugurkan Khalfan daripada senarai pemain mewakili negara itu pada Sukan Asia nanti.

Tindakan diambil selepas persatuan itu meneliti laporan awal yang mendapati Khalfan menjadi punca insiden pergaduhan tersebut.

Dalam satu kenyataan di laman sesawangnya pada Sabtu, UAE turut memohon maaf kepada FAM berhubung insiden tersebut yang tidak mencerminkan etika dan semangat kesukanan pasukan itu. – Bernama