Sebanyak 21 pasukan akan mengambil bahagian manakala pasukan negara tampil dengan jumlah penyertaan terbanyak iaitu 69 pelumba pada saingan yang memasuki edisi ke-38 itu. Ia turut mencatatkan jumlah penyertaan pelumba paling ramai iaitu 379 orang.

Bagi pasukan Malaysia, sandaran utama masih diletakkan di bahu juara keirin dunia, Azizulhasni Awang serta ratu pecut wanita negara, Fatehah Mustapa yang pernah menyerlah dengan meraih beberapa pingat pada perlumbaan edisi terdahulu.

Malah, barisan pelumba lain yang berpangkalan di Melbourne, Australia seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Farina Shawati Mohd. Adnan serta pelumba pecut berpasukan lelaki (Muhammad Khairil Nizam Rasol, Muhammad Fadil Mohd. Zonis dan Mohamad Shariz Efendi Mohd. Shahrin) turut berpeluang cerah untuk menambah koleksi pingat untuk negara.

Tiada sasaran ditetapkan kepada pasukan negara pada perlumbaan kali ini kerana tidak mahu pelumba utama terpalit dengan risiko kecederaan yang mungkin menyebabkan mereka terlepas peluang beraksi pada temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia selain Kejuaraan Dunia.

Menurut Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd. Wahab, edisi ACC 2018 merupakan perlumbaan yang berstatus tinggi dan akan disertai pelumba-pelumba bertaraf dunia.

“Juara dunia 2013 bagi acara ujian masa individu wanita, Lee Wai Sze dari Hong Kong turut akan beraksi manakala Im Chaebin (Korea Selatan) serta dua pelumba handalan Jepun, Kanazuri Watanabe dan Tomoyuki Kawabata juga bakal menghangatkan suasana perlumbaan.

“Berdasarkan mesyuarat kita bersama MSN (Majlis Sukan Negara), kita tidak mahu meletakkan apa-apa sasaran. Namun, sandaran kita masih diletakkan di bahu Azizulhasni, Fatehah serta Shah Firdaus,” katanya baru-baru ini.

Sebagai rekod, 21 pasukan termasuk Malaysia telah mengesahkan penyertaan iaitu Brunei, Korea Selatan, Uzbekistan, Singapura, Thailand, Macau, Pakistan, Kazakhstan, Arab Saudi, Iran, Taiwan, Bangladesh, China, Jepun, Bahrain, Indonesia, Hong Kong, Mongolia, India serta Emiriyah Arab Bersatu.

Antara acara yang dijangka menjadi tumpuan adalah keirin, pecut individu serta berpasukan, kejar mengejar lelaki berpasukan serta omnium.

Selain itu, dijangka seramai 23 atlet para negara turut bertanding pada kejohanan tersebut bagi mengumpul mata untuk kelayakan ke Sukan Para Asia 2018 dan Sukan Paralimpik 2020 selain memburu jersi putih selaku ‘Juara Asia 2018’.

Pada kejohanan sama yang berlangsung di New Delhi, India tahun lalu, skuad negara berjaya meraih dua pingat masing-masing menerusi Azizulhasni yang meraih emas pada acara pecut individu serta Shah Firdaus merangkul gangsa bagi acara keirin.

Dalam pada itu, Azizulhasni secara peribadi turut mengakui akan turun beraksi tanpa tekanan serta sasaran kerana mahu memberi fokus pada temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Katanya, dia perlu bijak memilih kejohanan yang bakal disertai pada tahun ini bagi memastikan dirinya berada pada prestasi terbaik ketika menyertai sesuatu kejohanan.

“Sukan Komanwel bakal diadakan di Gold Coast, Australia bermula 4 hingga 15 April, manakala Sukan Asia dijadualkan berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September di Indonesia.

“Penyertaan saya pada Kejohanan Berbasikal Asia hujung minggu ini tidak menyasarkan untuk meraih pingat kerana saya perlu menghadapi cabaran lebih besar,” katanya.