Pada saingan tersebut, Pesaka yang hanya menurunkan 10 atlet terbaik tanpa kelibat ratu silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir berjaya meraih tiga emas, empat perak dan dua gangsa.

Meskipun meraih keputusan positif, kejayaan tersebut seolah-olah diragut apabila jaguh dunia tiga kali, Al Jufferi Jamari me­ngalami kekalahan buat kali pertama kepada seteru utamanya dari Indonesia, Komang Harik Adi Putra dengan keputusan 5-0.

Namun, Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, kekalahan Al Jufferi itu merupakan pe­ngajaran terbaik buat pasukan kebangsaan agar lebih bersedia pada masa akan datang.

“Ini adalah saingan jemputan dan kita tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi. Kita mahu mereka hanya menimba pe­ngalaman dan sebagai aksi pemanas badan sebelum kejohanan sebenar bermula Ogos nanti.

“Bagaimanapun, saya berbangga kerana kebanyakan mereka mempamerkan peningkatan prestasi yang positif apabila tujuh daripadanya mara ke pentas final.

“Mengenai kekalahan Al Jufferi, saya akui masih terlalu awal untuk menilai prestasinya. Tetapi dia (Al Jufferi) perlu berhati-hati kerana semua peserta ingin melihatnya kalah.

“Tetapi saya percaya dengan anak-anak buah saya, mereka akan bangkit dalam baki enam bulan ini apabila menjalani latihan dalam dan luar negara,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Megat turut mengakui beraksi di atas pentas tinggi pada perlawanan itu turut mempengaruhi emosi pesilat negara.

“Oleh itu, setibanya di Kuala Lumpur nanti, kami akan menjalani latihan dengan menyediakan gelanggang yang sama. Pengalaman ini penting untuk melihat sejauh mata kelemahan atlet negara. Jadi, kita masih mempunyai masa untuk mengilap teknik mereka,” ujarnya.