Terdahulu, Gomez pernah membuat kenyataan berhubung isu tunggakan gaji dan beliau menggesa JDT menyelesaikan masalah itu sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun, Gomez yang kini melatih kelab Indonesia, Persib Bandung mengakui kemelut itu sudah diselesaikan dengan profesional pada Janua­ri lalu.

Namun, Gomez enggan mendedahkan jumlah sebenar tunggakan gaji yang dituntutnya daripada kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.

“Mereka (JDT) telah membayar tunggakan gaji saya. Apa pun, saya sentiasa berte­rima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana baginda banyak memberikan peluang kepada saya.

“Baginda juga memberikan peluang untuk bekerja di bawahnya dan saya memiliki dua tahun indah ketika mengendalikan JDT. Saya sentiasa bersyukur ketika mewakili JDT.

“Saya gembira kerana perkara itu telah menemui jalan penyelesaian antara kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Sepanjang berada di bawah kendalian Gomez, skuad Harimau Selatan berjaya bergelar juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2015 dan memenangi gelaran Liga Super dua kali berturut-turut pada 2015 dan 2016.

Ketika ditanya perasaannya jika bertembung dengan JDT pada masa akan datang, Gomez tanpa berselindung mengakui teruja untuk menentang skuad Harimau Selatan.

“Memori di (Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos) Larkin masih segar dalam ingatan saya. Saya masih ingat sorakan penyokong-penyokong dan terlalu sukar untuk saya lupakan.

“Menentang JDT, mengapa tidak? Sudah pasti ia akan menjadi satu perlawanan mengujakan tetapi kali ini, sudah pasti saya mahukan pasukan saya (Persib Bandung) menang. Itu sudah pasti,” katanya.