Tahun lalu, skuad negara berjaya layak ke pentas final Futsal AFF tetapi tewas kepada juara bertahan, Thailand 3-4 pada masa tambahan dalam edisi yang berlangsung di Vietnam itu.

Berdasarkan pencapaian semasa, skuad Majestic Tigers mampu muncul sebagai pencabar utama kepada Thailand memandangkan kedua-dua pasukan itu turut berentap di pentas final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain final Futsal AFF 2017 di Vietnam.

Bagaimanapun, Chun Yong tidak mahu memandang rendah kemampuan Indonesia apabila beliau menyifatkan juara AFF edisi 2010 itu mampu melakukan kejutan selain Thailand dan Vietnam yang tampil sebagai pasukan pilihan.

“Tahun lalu kita berjaya masuk final dan sudah tentu sama seperti tahun lalu, kita mahu bermain di pentas yang sama dan saya tidak berminat untuk meletakkan sasaran lebih rendah.

“Pencabar bukan Thailand sahaja tetapi jika kita tidak berhati-hati Vietnam pun menjadi cabaran kita selain Indonesia kerana kali ini mereka telah melakukan persediaan terbaik apatah lagi mereka menjadi pasukan tuan rumah kejohanan,” katanya pada sesi dialog Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin di Sentul baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Chun Yong mendedahkan, beliau akan turut memang­gil pemain negara, Yazid Kamaruzuan yang kini mewakili kelab Australia, Vic Vipers FC bagi memperkuatkan pasukan bimbingannya ke Indonesia nanti.

Bagaimanapun, Chun Yong memberikan amaran kepada anak-anak buahnya agar meningkatkan prestasi yang lebih bagus kerana beliau mengakui hanya yang terbaik sahaja dapat disenaraikan ke pentas Futsal AFF 2018 di Indonesia nanti.

“Kita dalam fasa untuk menghadapi kejohanan Futsal AFF. Bagi fasa pertama, kita akan cuba ramai pemain baharu bagi menilai persembahan mereka. Bagi fasa kedua pada Ogos pula, saya akan tentukan mana pemain boleh dipanggil untuk bersama pasukan kebangsaan.

“Yazid antara salah seorang pemain yang akan menyertai pasukan kebangsaan. Fasa kedua agak mencabar bagi pemain-pemain kerana mereka yang terbaik sahaja akan memasuki senarai 14 pemain nanti,” ujarnya.