Ia gara-gara kekalahan 0-3 kepada pasukan No. 11 dunia, Korea Selatan pada aksi separuh akhir kelmarin sekali gus menyaksikan peluang ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan berkubur.

Penyudah yang kurang tajam dengan deretan peluang terutama lima pukulan sudut penalti diperoleh sepanjang perlawanan dilihat antara punca kegagalan skuad wanita selain kekurangan pengalaman bermain di pentas tinggi.

Bagaimanapun, ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tetap berbangga dengan keseluruhan prestasi ditampilkan anak-anak buahnya sehingga berjaya mara ke separuh akhir meskipun berstatus sebagai pasukan ranking kelima terbaik kejohanan.

“Korea Selatan adalah sebuah pasukan mantap dan mempunyai penjaga gol yang mampu menghalang percubaan kami menerusi pukulan sudut penalti.

“Pemain-pemain mereka menghalang kami untuk menggunakan set-piece ketika pukulan sudut penalti. Disebabkan itu, kami tidak mempunyai banyak peluang.

“Gol-gol Korea Selatan pula berpunca daripada kesilapan kami sendiri disebabkan tekanan tinggi yang dilakukan oleh pemain-pemain mereka sepanjang perlawanan ini. Apa pun pemain sudah memberikan aksi terbaik mereka dalam perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, kejayaan meraih tempat ketiga dengan menewaskan Republik Czech 3-0 hasil gol daripada Hanis Nadiah Onn, Fazilla Sylvester Silin dan Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad malam tadi sedikit sebanyak dapat mengubati kekecewaan gagal me­langkah ke pentas final.