Ketua Jurulatih skuad B-16 negara, Raja Azlan Shah Raja So’ib membuat keputusan untuk mengekalkan kesebelasan utamanya seperti aksi terakhir peringkat Kumpulan B ketika menewaskan Laos, Selasa lalu.

Barisan pemain yang diletakkan nyata mampu mengawal momentum dan asakan awal pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan penuh lebih 30,000 penyokong yang memenuhi stadium.

Lebih menarik, pasukan negara terlebih dahulu mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan tetapi hantaran Dinesh Baskaran gagal disudahkan oleh Alif Daniel Abd. Aziz.

Indonesia pula meraih peluang pada babak pertama menerusi ketua pasukan, David Maulana tetapi percubaannya gagal menguji penjaga gol negara, Abd. Alim Al Amri.

Perlawanan antara seteru tradisi itu bertambah rancak apabila percubaan penyerang Indonesia, Mochmammad Supriadi pada minit ke-31 sekadar terkena tiang gol untuk menjadikan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, skuad negara dilihat terus tertekan apabila pasukan tuan rumah melakukan asakan bertali arus ke kubu negara apabila meraih beberapa peluang terbaik menerusi Supriadi dan Maulana.

Usaha Sang Garuda akhirnya terbalas selepas dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Vietnam, Nge Duy Lan pada minit ke-70 selepas Abd. Alim menjatuhkan Supriadi.

Peluang tersebut tidak disia-siakan Amiruddin Bagus Kahfi Alfikri untuk meledak gol tunggal perlawanan, sekali gus membawa Indonesia mara ke final untuk bertemu dengan Thailand esok.

Skuad remaja Harimau Malaya akan bertemu dengan Myanmar dalam penentuan tempat ketiga di venue yang sama esok.

Sebagai rekod, skuad senior Harimau Malaya pernah menjulang trofi Piala AFF pada edisi 2010 di Jakarta, manakala skuad B-19 kendalian Bojan Hodak baru sahaja muncul juara Piala AFF B-19 di Surabaya bulan lalu.