Cazorla, 34, tidak dapat menggambarkan kegembiraannya dengan situasi sekarang memandangkan dia berdepan krisis kecederaan berpanja­ngan dalam karier profesionalnya hingga pernah dinasihatkan agar melupakan sukan bola sepak sebelum ini.

“Memakai lilitan le­ngan kapten ini merupakan salah satu impian saya sejak kecil dan ia akhirnya menjadi ke­nyataan hari ini (awal pagi semalam).

“Saya menikmati segalanya sekarang tetapi apa yang lebih penting buat saya bukan menjadi kapten, sebaliknya kemenangan pasukan.

“Kami sedar perlawanan ini akan menjadi sukar kerana beraksi di atas rumput tiruan tetapi saya lega kerana kami dapat mengatasinya untuk mencatat kemenangan selesa,” katanya.

Aksi menentang Kepulauan Faroe itu merupakan perlawanan antarabangsa pertama Cazorla dalam tempoh hampir empat tahun sejak bertemu Luxembourg pada tahun 2015.

Cazorla terpaksa ber­depan banyak pembedahan disebabkan pel­bagai kecederaan dialaminya sepanjang bersama Arsenal dari tahun 2012 hingga 2018 sebelum kembali semula bersama bekas kelabnya di Sepanyol, Villarreal.

Kepulangannya bersama Villarreal menyaksikan ‘kelahiran semula’ Cazorla dengan prestasi yang cukup memukau selain tahap kecergasan terbaik hingga menyaksikan ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique memanggilnya semula untuk perlawanan antarabangsa.

Walaupun gagal men­cetak gol tetapi Cazorla memainkan peranan cukup cemerlang hingga membolehkan empat gol terhasil menerusi Sergio Ramos, Jesus Navas, Jose Luis Gaya dan satu jaringan sendiri pemain Kepulauan Faroe, Klae­mint Olsen. – Agensi