Keputusan tersebut menyaksikan Harimau Malaya berjaya menempah slot final menerusi kelebihan jaringan gol di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.

Dalam aksi tersebut, Syahmi Safari dan Norshahrul Idlan Talaha masing-masing menyumbang gol pada minit ke-28 dan 70 meskipun Malaysia dua kali ke­tinggalan menerusi jaringan Thitipan Puangchan minit ke-18 dan Pansa Hemviboon minit ke-63 untuk mencipta kebangkitan dra­matik.

“Keputusan malam ini pastinya akan diingati sampai bila-bila kerana ia berlangsung dengan penuh dramatik.

“Pada babak kedua kami banyak mencipta peluang dan lebih memfokuskan kepada serangan balas pantas. Saya lihat pemain menunjukkan disiplin taktikal yang sangat baik dan ia adalah keputusan yang sangat menakjubkan,” katanya.

Biarpun Thailand dilihat sebagai pa­sukan pilihan pada aksi kedua selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jari­ngan pada aksi pertama, Harimau Malaya tidak mudah patah semangat apabila dua kali bangkit untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan.

Impian skuad negara untuk ke final hampir lebur apabila skuad Gajah Perang itu mendapat sepakan penalti pada peng­hujung perlawanan setelah bola terkena tangan Syahmi di dalam kotak penalti, namun Adisak Kraisorn gagal menyempurnakannya apabila sepakannya sekadar melewati palang gol.

Dalam pada itu, Cheng Hoe mendedahkan bahawa beliau meletakkan kepercayaan penuh kepada penjaga gol, Mohd. Farizal Marlias untuk berdepan sepakan tersebut yang akhirnya menyaksikan Malaysia mengesahkan kejayaan.

“Saya tenang dan yakin Farizal mampu untuk menafikan sepakan Adisak. Sebelum ini kami juga ada lihat video cara tendangan Adisak ketika mengambil sepakan penalti.

“Sebab itu saya percaya Farizal boleh buat sesuatu untuk membawa Malaysia ke pentas final,” katanya selepas perlawanan tersebut.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad kebangsaan melangkah ke pentas final Piala AFF Suzuki buat kali keempat selepas 1996, 2010 dan 2014.

Kejayaan mara ke pentas final membuka peluang buat skuad negara untuk menjulang kejuaraan kali kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menewaskan Indonesia 3-2.