Pemain berusia 21 tahun itu berkata, siapa pun yang dipilih ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee pada perlawanan itu nanti tidak penting, sebaliknya setiap pemain perlu menunjukkan semangat juang tinggi dan memberi tumpuan sepenuhnya sepanjang 90 minit perlawanan.

Beliau, bagaimanapun berazam menampilkan aksi terbaik dan memberikan segalanya jika diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab tersebut.

"Tidak kira siapa pun yang akan bermain, semua barisan pemain perlu fokus kerana Jepun adalah sebuah pasukan yang baik. Jurulatih (Kim Swee) sudah pasti mempunyai perancangan dan semua pemain perlu menghormatinya," katanya kepada media Malaysia di sini, hari ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan E semalam yang menyaksikan Malaysia tewas tipis 2-3 pada tangan Bahrain, Mohd Ifwat mempamerkan aksi terpuji dengan bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan satu lawan satu untuk mempertahankan gawang negara.

Kesilapan mudah yang dilakukan benteng pertahanan negara, bagaimanapun berjaya dimanfaatkan Bahrain untuk bangkit menjaringkan tiga gol selepas ketinggalan satu kosong pada minit ke-20 hasil jaringan Muhammad Syahmi Safari.

Justeru, pemain Kedah itu berharap rakan sepasukan bangkit melupakan kekecewaan semalam dan menumpukan sepenuh fokus terhadap perlawanan menentang Jepun.

"Saya masih belum berpuas hati terhadap prestasi saya. Banyak yang perlu diperbaiki kerana dalam bola sepak kita tidak selalu dapat mengekalkan prestasi baik itu. Walaupun ada sedikit kesilapan yang dibuat, ia sudah tentu akan memberikan impak kepada keputusan perlawanan," tambahnya.

"Saya berharap pada perlawanan dengan Jepun semua pemain dapat mengurangkan kesilapan-kesilapan mudah dan berikan yang terbaik," katanya. - Bernama