Terbaharu, pengurus dari Portugal itu dilaporkan memberitahu Pogba supaya menyerahkan surat permohonan perpindahan jika dia sekali lagi mahu meninggalkan kelab tersebut.

Awal minggu ini, kedua-dua mereka telah bertelagah pada sesi latihan United ekoran kenyataan kontroversi Pogba selepas kemenangan 2-1 The Red Devils ke atas Leicester City pada Sabtu lalu.

Pogba telah diberi tugas menjadi kapten United dan menjadi pemain terbaik perlawanan ketika menentang The Foxes dan penyokong-penyokong The Red Devils berharap persembahan cemerlang itu akan menutup spekulasi yang mengatakan dia mahu menyertai Barcelona.

Bagaimanapun, Pogba te­lah mengesahkan dia tidak gembira bersama kelab itu.

“Ada beberapa perkara saya boleh katakan dan ada beberapa perkara saya tidak boleh jelaskan. Jika tidak saya akan didenda,” katanya.

Menurut laporan media England, kenyataan Pogba itu jelas menimbulkan kemarahan Mourinho yang dianggap telah menconteng arang di mukanya.

Kedua-dua individu itu mula bertikam lidah bermula daripada kenyataan Mourinho yang mahu Pogba menghantar surat permohonan perpindahan jika mahu berbuat demikian.

Mourinho jelas merujuk keputusan Pogba yang telah meninggalkan United pada 2012 dengan menyertai Juventus kerana berpendapat dia tidak diberikan peluang untuk bermain lebih kerap ketika berada di bawah kendalian bekas pengurus, Alex Ferguson.

Mourinho mengkritik aksi Pogba musim lalu menyebabkan hubungan mereka agak renggang.

Ejen Pogba, Mino Raiola turut menjadi sasaran kemarahan Mourinho yang menuduhnya menjadi punca ekoran terlalu ba­nyak spekulasi yang menyelubungi dan mahu pemain itu memecat ejennya. – Agensi