Ketua jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata bukan mudah untuk Malaysia menghuni ranking ke-22, dapat bersaing dengan pasukan dalam kelompok 10 terbaik dunia yang mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas Piala Dunia.

"Ini peluang terbaik bagi kita bermain dengan pasukan berada di tahap berlainan daripada kita, terutamanya pasukan bukan Asia seperti dari Eropah yang tidak biasa bermain dengan kita. Nak main aksi persahabatan pun susah nak dapat.

"Kita berada di tempat kelapan daripada 10 pasukan bertanding di Sukan Komanwel. Enam daripadanya adalah pasukan yang beraksi di Piala Dunia, jadi bukan mudah untuk kita menewaskan mereka.

"Kalau dapat mempertahankan tempat ketujuh pun sudah cukup baik," katanya kepada pemberita selepas lawatan Chef-de-Mission (CDM) Sukan Komanwel negara, Huang Ying How ke sesi latihan skuad hoki wanita, tinju dan olahraga para kebangsaan di sini, hari ini.

Skuad 'Malaysian Tigress' diundi dalam Kumpulan A bersama-sama pasukan nombor dua dunia England, India (10), Afrika Selatan (14) dan Wales (26), manakala Kumpulan B dihuni pasukan nombor empat dunia New Zealand, juara bertahan dan nombor lima dunia Australia, Scotland (18), Kanada (21) dan Ghana (30).

Dharma Raj berkata pertemuan menentang Wales menjadi aksi 'wajib menang'  bagi skuad 'Malaysian Tigress', selain melihat kemungkinan untuk mencipta kejutan ke atas India yang menang tipis 0-2 ke atas pasukan negara ketika  Piala Asia di Jepun, Oktober  lalu.

"Kita kena tewaskan Wales untuk elak kemungkinan bermain pada perlawanan penentuan tempat ke-9/10 kerana dalam hoki, kalau tersilap langkah, macam-macam boleh jadi. England pasukan yang terlalu kuat bagi kita kerana mereka merupakan juara Sukan Olimpik (sebagai pasukan Great Britain).

"Kita pernah menewaskan Afrika Selatan lebih 10 tahun dulu, tetapi mereka bukan calang-calang pasukan. Kalau kita berjaya menewaskan mereka, memang kejutan besar," katanya.

Sebagai persiapan ke Sukan Komanwel, skuad wanita negara akan  mengadakan lima aksi persahabatan menentang pasukan remaja Jepun bermula 10 Mac di sini, selepas Liga Hoki Wanita tamat pada 4 Mac.

"Selepas itu, kita akan berlepas ke Gold Coast pada 26 Mac bersama-sama dengan skuad lelaki. Pergi lebih awal untuk bermain dua aksi persahabatan menentang pasukan New South Wales dan sedang cuba untuk mendapatkan satu aksi bersama pasukan daripada Kumpulan B," katanya.

Beliau berkata temasya sukan itu menjadi medan penting untuk mempersiapkan pasukannya mencapai sasaran mara ke separuh akhir Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada Ogos nanti, selain kejohanan Trofi Juara-Juara Asia d Korea Selatan dari 13 hingga 20 Mei. - Bernama