Juara Piala TNB musim lalu itu akan berdepan saingan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium Tengku Abdullah, Bangi esok dan kemudiannya dijadualkan bertemu pencabar utama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stadium Tun Razak, Jalan Duta pada Ahad.

“Kami akan menghadapi dua perlawanan sukar dalam tempoh tiga hari dengan tempoh rehat yang singkat, jadi saya mahu para pemain fokus terhadap pertemuan ini.

“Saya tidak mahu melihat kedudukan liga kerana ia masih terbuka buat semua pasukan. Jurulatih (Arul Selvaraj) sudah memberikan amaran supaya kami tidak keciciran mata dalam baki lima perlawanan selepas ini.

“Mesej saya sangat jelas iaitu kami perlu menyelesaikan tugas ini secepat mungkin, tenang sepanjang perlawanan dan kekal fokus sehingga wisel penamat dibunyikan,” kata Marhan yang merupakan tonggak bahagian tengah skuad kebangsaan.

UniKL mengungguli carta liga dengan 19 mata diekori TNB (18 mata) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) pada kedudukan ketiga dengan 13 mata manakala Maybank menghuni tangga keempat selepas mengutip 12 mata daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Dua lagi perlawanan yang akan berlangsung esok menyaksikan pertembungan antara TNB Thunderbolts dan THT di Stadium Tun Razak serta Nurinsafi menentang TNB di Stadium Hoki Lembah Pantai, Kuala Lumpur. - K! ONLINE