Razie, 32, berharap segala latihan dan kerja keras sepanjang tiga minggu lalu terutama dari segi pukulan sudut penalti dapat diterjemahkan kepada jaringan gol dalam sembilan perlawanan di Eropah.

"Kami sudah tiga minggu berlatih dengan teruk dan setiap hari dalam dua minggu ini kami melakukan latihan pukulan sudut penalti selain turut menguji taktikal set-piece.

"Sebagai seorang flicker, saya akan buat yang terbaik dan menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin memandangkan pukulan sudut penalti adalah salah satu kekuatan pasukan selain barisan serangan.

"Kalau boleh sudah tentu saya mahu melihat kami dapat menjaringkan banyak gol daripada setiap pukulan sudut penalti yang diraih di sana nanti," katanya sewaktu sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Selain Razie, turut berkebolehan mengambil pukulan sudut penalti dalam skuad ke Eropah kali ini ialah dua penyerang, Faizal Saari dan Muhammad Shahril Saabah serta tonggak pertahanan, Syed Mohd. Syafiq Syed Cholan.

Skuad negara kendalian Roelant Oltmans akan berlepas ke Eropah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Ahad ini dan akan berdepan lawan-lawan hebat seperti Jerman, Sepanyol, Ireland, England, Belanda dan Belgium.

Siri Jelajah Eropah merupakan salah satu langkah persediaan Malaysian Tigers sebelum menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2020 dijadualkan pada Oktober atau November depan. - K! ONLINE