Ternyata ia merupakan isyarat yang jelas daripada Australia kepada skuad hoki lelaki negara menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam perlawanan kedua kejohanan itu malam esok.

Ketua jurulatih Australia, Colin Batch mahu anak-anak buahnya meneruskan rentak kemenangan seperti dilakukan ke atas England untuk perlawanan malam esok.

"Saya akan meneruskan strategi yang sama dengan menggunakan serangan balas pantas untuk menjaringkan gol seperti menentang England hari ini.

"Perlawanan menentang Malaysia di hadapan ribuan penonton mereka sudah pasti akan menyajikan satu permainan yang menarik. Saya harap kami dapat meneruskan prestasi hari ini ke atas Malaysia esok," katanya.

Australia yang merupakan naib juara tahun lalu, menjaringkan empat gol menerusi Dylan Wotherspoon, Blake Govers, Aaron Kleinschmidt dan Lachlan Sharp, manakala Phil Roper menghadiahkan jaringan sagu hati buat England.

Sebagai rekod, Australia membelasah skuad negara 6-1 tahun lalu dan turut mencatatkan kemenangan besar iaitu 5-1 pada edisi 2016.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Argentina membuktikan keunggulan dengan kemenangan 3-2 ke atas juara Piala Asia 2017, India pada aksi petang tadi.

Pakar flick yang juga bintang sensasi dunia, Gonzalo Peillat meledak hatrik untuk muncul wira Argentina dan kedua-dua gol India pula terhasil menerusi jaringan Amit Rohidas. - K! ONLINE