Ketua Jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans berkata, ketiadaan pemain senior telah membuka peluang kepada pemain muda negara untuk membuktikan kehebatan masing-masing pada kejohanan dwitahunan berkenaan.

Skuad Malaysian Tigers terpaksa melupakan khidmat pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim yang mengalami kecederaan hamstring manakala perancang tengah, Mohd Fitri Saari pula menghadiri Konvokesyen Universiti Putra Malaysia.

"Kami ke Oman untuk memberikan persaingan yang terbaik dan tiada alasan untuk tidak beraksi cemerlang hanya kerana ketiadaan beberapa pemain," kata Oltmans yang dipetik sebagai berkata menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia.

Dalam pada itu, Oltmans menyifatkan aksi pembukaan kejohanan berdepan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jepun sebagai medan permulaan bagi memburu slot ke separuh akhir pada saingan kali ini.

"Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan tiga mata dan melangkah ke separuh akhir kerana separuh akhir merupakan sasaran pertama kami, dan selepas kami berjaya untuk mencapai sasaran pertama, tentunya kami akan memandang untuk beraksi di pentas akhir," jelas pengendali kelahiran Belanda itu.

Oltmans menyenaraikan 18 pemain yang akan menggalas cabaran negara pada kejohanan yang menyaksikan gabungan pemain muda dan berpengalaman.

Malaysia akan memulakan kempen kejohanan bertemu Jepun pada 18 Oktober, Oman (20 Oktober), Korea Selatan (22 Oktober), India (24 Oktober) sebelum menamatkan aksi pusingan awal menentang Pakistan.

Berdasarkan format kejohanan, empat pasukan yang mengumpul mata tertinggi akan layak ke peringkat separuh akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan berkenan adalah tempat ketiga yang diraih sebanyak empat kali iaitu pada 2011 di China, 2012 di Qatar, 2013 di Jepun dan 2016 di Kuantan, Pahang. - Bernama
 
Senarai 18 pemain:
S. Kumar, Muhammad Hairi Abd Rahman, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Faiz Helmi Jali, Muhammad Najib Abu Hassan, Nabil Fiqri Mohd Noor, Muhammad Marhan Jalil, Muhammad Azri Hassan, Meor Muhamad Azuan Hassan, Joel Samuel Van Huizen, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Firhan Ashari, Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Faizal Saari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Muhammad Shahril Saabah.