Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal sebentar tadi mengesahkan pihaknya telah melakukan bidaan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) sebelum tarikh tutup pada 31 Januari lalu.

Malaysia memilih 1 hingga 17 Julai 2022 sebagai tarikh penganjuran Piala Dunia 2020 yang turut menyaksikan beberapa negara seperti pasukan ranking kedua dunia, Australia, Jerman, India, New Zealand dan Sepanyol juga mengemukakan tawaran untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Jerman dan Sepanyol juga memilih tarikh 1 hingga 17 Julai 2022 manakala Australia, India dan New Zealand berminat untuk menganjurkan Piala Dunia 2022 pada 13 hingga 29 Januari 2023.

Proses penilaian bermula serta merta sebelum Lembaga Eksekutif FIH membuat keputusan sama ada Malaysia mendapat hak penganjuran Piala Dunia 2022 pada Jun depan.

Skuad hoki lelaki negara yang menduduki ranking ke-13 dunia, tidak terlepas membuat penampilan dalam dua edisi terakhir Piala Dunia bermula 2014 di The Hague, Belanda dan di Bhubaneswar, India hujung tahun lalu. - K! ONLINE