Usaha gigih KLHA menerusi presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin yang mahu memperhalusi potensi kerjasama dalam empat aspek utama turut mendapat pujian daripada Ketua Jurulatih Prestasi Tinggi Hoki Australia, Lachlan Anderson.

"Saya sangat tertarik untuk berbincang lebih lanjut dengan Datuk (Megat D. Shahriman) mengenai perancangannya yang menarik dan progresif.

"Saya sudah terlibat dengan hoki Malaysia selama tiga tahun. Malaysia mempunyai kumpulan pemain berbakat terutama dari segi fizikal dan taktikal.

"Jadi saya tidak menolak kemungkinan untuk turun ke Malaysia kerana ia juga satu peluang yang baik buat diri saya," kata Anderson.

Empat aspek utama KLHA mahu menjalin kerjasama dari segi program pembangunan akar umbi, pertukaran pemain antara KLHA dan Melbourne, penubuhan pasukan untuk Liga Hoki Malaysia 2020 serta pembangunan pengadil.

Dalam masa sama, Megat D. Shahriman juga dibawa meneliti program skuad bawah 13 tahun (B13) lelaki dan wanita Kelab Hoki Victoria yang merupakan salah satu daripada lapan pasukan negeri di Australia.

Beliau juga dibawa melihat sesi latihan skuad wanita Kelab Hoki Footscray yang beraksi dalam Liga Premier Victoria sebelum pulang ke tanah air esok. - K! ONLINE