Bagaimanapun, jurulatih per­seorangan lelaki negara, Hen­drawan tetap bimbang apabila anak buahnya itu diundi bertemu pemain Perancis, Brice Leverdez pada pusingan per­tama, pemain sama yang menyingkirkannya dalam edisi tahun lalu di Glasgow, Scotland.

Beliau mengakui Chong Wei kadangkala ‘lambat panas’ pada pusingan pertama sehingga menyebabkan dia tertekan, sekali gus membuka peluang kepada pemain lawan untuk me­lakukan asakan terhadap­nya.

“Prestasi serta kemam­puan pemain-pemain per­seorangan lelaki lebih kurang sama, jadi sudah pasti kita perlu fokus satu demi satu perlawanan walaupun undian dilihat tidak begitu sukar.

“Sebenarnya, saya juga bimbang untuk Chong Wei pada pusingan pertama kerana kadang-kadang sukar untuk sesuaikan diri serta dapatkan rentak permai­nan. Disebabkan itu, ramai pemain ternama tersingkir awal,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! semalam.

Pada Kejohanan Dunia 2017, pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu terpaksa pulang awal apabila disingkirkan seawal pusingan pertama selepas tewas 19-21, 24-22, 17-21 kepada Leverdez.

Justeru, Hendrawan berharap pemain berusia 36 tahun itu mampu memberikan fokus 100 peratus kepada persiapan menentang jaguh Perancis tersebut, lebih-lebih lagi tidak sampai dua minggu sebelum kejohanan bermula.

“Bermula sekarang, Chong Wei perlu mempersiapkan diri sepenuhnya serta fokus untuk bertemu Leverdez pada pusingan pertama. Ini adalah Kejohanan Dunia, jadi tekanannya berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan-kejohanan biasa,” tambahnya.

Mengulas mengenai kemungkinan bertemu bintang Jepun, Kento Momota pada peringkat separuh akhir, Hendrawan yang merupakan juara dunia 2001 menegaskan, Chong Wei perlu bersiap sedia, terutamanya dari segi mental.

“Chong Wei mungkin akan bertemu Momota pada separuh akhir dan dia tidak boleh lari daripada pertemuan itu. Apa yang penting, dia perlu bersedia dari segi mental kerana beban digalas lebih besar pada kejohanan ini,” ujarnya.

Sebagai rekod, kedua-dua pemain itu memiliki pencapaian yang seimbang apabila mencatat dua kemenangan dalam empat pertemuan terdahulu de­ngan perlawanan terakhir memihak kepada Momota pada Terbuka Indonesia awal bulan ini.