Penghijrahan pemain skuad antarabangsa Belgium itu dengan nilai £150 juta (RM792.1 juta) telah menamatkan spekulasinya ketika beraksi bersama Chelsea sebelum ini.

Sebaik sahaja tiba di Santiago Bernabeu, Hazard mengakui enggan bersaing untuk mendapatkan jersi nombor 10 pasukan ekoran angka itu merupakan nombor rasmi buat Luka Modric.

“Saya sudah berbual dengan Modric melalui Kovacic sebelum ini dan dalam nada berjenaka dia meminta saya menggunakan nombor lain di Madrid.

“Modric memberitahu supaya saya mencari nombor lain kerana angka 10 secara rasmi telah menjadi miliknya.

“Pada saya, isu berkenaan nombor bukan topik utama kerana apa yang lebih penting adalah untuk menyarung jersi dan demi lencana Real Madrid,” kata Hazard.

Pada masa sama, Hazard juga mengakui tidak akan bergelut untuk menjadi pemain yang akan mengambil sepakan penalti ekoran Madrid sudah mempunyai ramai pemain sedia ada menggalas peranan tersebut.

“Saya datang ke sini sebagai pemain baharu selepas menghabiskan tujuh tahun di Stamford Brigde, jadi sudah pasti saya mahu menyumbang segala-galanya bersama Real.

“Berkenaan sepakan penalti, saya merasakan kapten pasukan, Sergio Ramos lebih berhak menggalas pe-ranan tersebut bersama skuad kendalian Zinedine Zidane,” katanya. 
– Agensi