Meskipun cuba melakukan kebangkitan pada set kedua, namun masih belum mampu untuk menghalang pilihan kelima kejohanan itu daripada menampilkan aksi lebih baik, sekali gus memastikan gelaran juara menjadi milik mereka.

Walaupun kecewa gagal meraih kejuaraan pertama sejak Januari lalu, namun Liu Ying enggan memberikan sebarang alasan, sebaliknya mengakui pemain lawan bermain lebih baik berbanding mereka pada final semalam.

“Rasa kecewa itu memang ada kerana ini adalah aksi final pertama kami sejak Ja­nuari. Saya akui ini bukanlah persembahan terbaik kami dan sudah semestinya perlu lakukan sesuatu bagi memastikan ia tidak berulang.

“Memang ini kali pertama saya dan Peng Soon bertemu mereka tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan atas kekalahan hari ini (semalam). Secara kese­luruhan, mereka memang bermain lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum beraksi pada kejohanan-kejohanan akan datang, pemain kelahiran Melaka itu menegaskan mereka perlu mengawal emosi ketika berada di dalam gelanggang serta meningkatkan persefahaman.

Sebagai rekod, Liu Ying dan Peng Soon kembali digandingkan penghujung 2017­ apa­bila dia terpaksa berehat selama sembilan bulan selepas menjalani pembedahan bahu kanan di Jerman, Mei tahun lalu.

“Bagi saya, kami masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki. Apa yang saya dapat lihat hari ini (semalam) adalah kami perlu lebih tenang apabila berada di dalam gelanggang serta memperkemaskan kombinasi permainan,” ujarnya.

Peng Soon-Liu Ying dianggap antara beregu campuran terbaik dalam sejarah negara apabila berjaya membawa pulang pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.