Meskipun berdepan kritikan kerana menggugurkan pemain tengah berpengaruh, Nor Azam Abdul Azih, bekas pengendali pasukan Kedah itu yakin jentera tengahnya masih ‘bernyawa’ menjelang aksi pertama menentang Kemboja di Stadium Nasional, Phnom Penh malam esok.

Kata Cheng Hoe, sesuatu yang normal buat jurulatih mempu­nyai falsafah peribadi dan sesiapa yang diletakkan dalam kese­belasan utama nanti diharapkan mampu memberi aksi terbaik.

“Saya percaya setiap jurulatih mempunyai falsafah tersendiri dan setiap pemain yang terpilih menyertai kejohanan ini memiliki kelebihan serta berupaya memberi dimensi baharu di posisi masing-masing.

“Setakat ini, saya lihat semua pemain sudah bersedia secara fizikal dan mental kerana pasukan perlu meraih keputusan positif pada aksi pertama menentang Kemboja memandangkan peminat menaruh harapan tinggi buat pasukan tahun ini,” katanya ketika ditemui di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Se­pang semalam.

Sementara itu, Cheng Hoe turut enggan menjadikan kemenangan ke atas Kemboja pada aksi persahabatan antarabangsa sebagai tiket buat anak-anak buahnya berasa yakin kerana percaya peluang masih 50-50.

“Perlawanan persahabatan dan kompetitif amat berbeza tetapi pemain akan memainkan peranan penting buat pasukan sekiranya berhasrat untuk me­ngulangi kemenangan lepas.

“Saya dan barisan kejurulatihan sudah berbincang me­ngenai gambaran kesebelasan utama tetapi saya akan pantau sehingga ke saat akhir sekiranya berlaku kecederaan yang tidak diingini pada sesi latihan,” katanya.

Selepas aksi menentang Kemboja, skuad Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan Laos (12 November), Viet­nam (16 November) sebelum mengakhiri aksi Kumpulan A menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 November.