Kata Cheng Hoe, aksi menentang Jordan boleh dianggap sebagai medan untuk memilih barisan 23 pemain yang akan dikekalkan untuk mengharungi saingan kelayakan Piala Asia 2023/Piala Dunia 2022 yang akan bermula minggu depan.

Selain itu, Cheng Hoe mahu anak-anak buahnya melakar keputusan positif dalam misi menaikkan ran­king skuad Harimau Malaya yang kini berada di kedudukan ke-159 dunia selain meningkatkan moral sebelum bertemu musuh tradisi, Indonesia minggu depan.

“Kami telah melakukan persiapan terbaik sepanjang minggu dan barisan pemain berada dalam keadaan yang sangat memuaskan untuk mengharungi perlawanan menentang Jordan dan ia boleh dianggap sebagai medan ujian serta pemanas badan sebelum bertemu Indonesia.

“Pemain juga tahu senarai pemain 23 yang akan bersama skuad Harimau Malaya akan diumumkan selepas aksi menentang Jordan nanti dan saya harap mereka dapat membuktikan keupayaan pada aksi kali ini,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe enggan memikirkan status pasukan lawan yang kemungkinan menurun­kan barisan muda kerana apa yang penting adalah kualiti pasukan Jordan hampir sama dengan skuad Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Tidak kisah mereka turunkan sama ada pasukan A atau pasukan B kerana apa yang penting keputusan yang diraih nanti adalah positif dan berpotensi untuk menaikkan ranking pasukan.

“Dalam perkembangan sama, saya percaya Jordan adalah pilihan tepat untuk menguji pasukan Malaysia kerana selepas aksi bertemu Indonesia, kami dijadualkan menentang UAE yang kualitinya tidak terlalu berbeza,” katanya.

Selain daripada Indonesia dan UAE, skuad negara diundi dalam Kumpulan G pada kelayakan Piala Asia 2023/Piala Dunia 2022 bersama Thailand dan Vietnam.