Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe yang bebas daripada sebarang kecederaan sedia untuk diturunkan bagi menggalas misi memburu keputusan positif sebagai bekalan selesa untuk bertandang ke Bangkok pada 5 Disember.

“Thailand kelihatan begitu yakin apabila mereka tidak gentar meskipun sekiranya 100,000 penyokong Malaysia hadir di stadium. Kita tidak boleh nafikan perkara tersebut kerana mereka mempunyai pemain yang hebat serta liga jauh lebih bagus berbanding kita.

“Apa yang lebih penting, saya lihat pasukan telah menunjukkan persembahan yang baik dalam sesi latihan serta semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan telah bersedia untuk diturunkan,” ujar Cheng Hoe ketika dihubungi semalam.

Atas kertas, skuad Gajah Perang bimbingan Milovan Rajevac mempunyai kelebihan berdasarkan ranking ke-121 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-169.