Harapan Belgium untuk melangkah ke final musnah selepas pemain pertahanan Les Bleus, Samuel Umtiti memecah kebuntuan gol selepas enam minit bermula separuh masa kedua dalam aksi separuh akhir awal pagi semalam dan keputusan tersebut menyaksikan skuad bimbingan Martinez akan berentap bagi penentuan tempat ketiga atau keempat Sabtu ini.

Martinez mengakui sangat terkilan selepas melihat ‘generasi emas’ Belgium dikecewakan oleh skuad bimbingan Di­dier Deschamps yang beraksi dengan baik, terutamanya di barisan pertahanan, namun mengakui jurang kekalahan tersebut tidak terlalu besar buat pasukan.

“Ia adalah pertembungan yang sangat sengit kerana banyak keputusan besar perlu dilakukan dengan segara oleh pemain ketika beraksi di atas padang.

“Saya merasakan pemain menunjukkan tempo permainan yang baik pada babak kedua sehinggalah kami dihukum dengan jaringan yang berpunca daripada sepakan penjuru.

“Pasukan yang kalah dan menang untuk aksi separuh akhir ini hanyalah dipisahkan melalui situasi bola mati,” kata Martinez.

Belgium berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Jepun 3-2 pada pusingan 16 terbaik dan menundukkan Brazil 2-1 dalam pe­ringkat suku akhir, sekali gus meranapkan harapan skuad kendalian Tite untuk melengkapkan kejuaraan kali keenam mereka di Rusia.

Tiga daripada lima gol yang diperoleh Belgium sebelum ini adalah melalui situasi bola mati, namun Martinez enggan menyalahkan pemainnya tidak melakukan persiapan tersebut menyebabkan kegagalan mereka untuk menundukkan Perancis.

“Bagaimanapun, kami tetap mempu­nyai peluang satu lawan satu untuk menghasilkan gol, namun pemain gagal memanfaatkannya dengan baik seterusnya menyebabkan mereka berdepan kesukaran kerana Perancis berjaya bangkit untuk mendominasi kelemahan kami.

“Fokus pasukan adalah untuk menang ketika beraksi di Rusia dan keputusan ini memang tidak dinafikan telah membuatkan kami sedih.

“Namun, saya tidak mahu pemain terus kecewa dengan kekalahan ini, sebaliknya mereka perlu terus fokus untuk menamatkan aksi terakhir dengan baik Sabtu ini,” ujarnya. – Agensi