V Shem, bagaimanapun sedar bahawa misi mereka bukan mudah kerana beberapa pasangan dalam kelompok 20 terbaik dunia turut menyertai temasya empat tahun sekali itu.

Pasangan beregu utama negara itu menewaskan Danny Bawa Chrisnanta-Chayut Triyachart dari Si­ngapura, 21-12, 12-21 dan 21-15 untuk meraih pingat emas pada edisi 2014 di Galsgow, Scotland.

“Undian kali ini agak sukar terutama dengan kehadiran beberapa pasangan terkemuka dunia, satu dari India dan satu lagi pasangan England, jadi kita perlu memberi lebih tumpuan terhadap kedua-dua pasangan itu dan tidak mengambil mudah cabaran mereka.

“Prestasi kami pada kejohanan All England dua minggu lepas tidak begitu memberangsangkan, namun kami berharap dapat menebus kembali dengan menampilkan aksi terbaik pada Sukan Komanwel,” kata V Shem pada sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.

Berkongsi pandangan sama, pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang berpendapat mereka bakal berdepan cabaran sengit dengan penyertaan beberapa pasangan terbaik dunia terutama dari England, India dan Wales.

“Kami berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana memberi peluang kepada kami membuktikan kemam­puan pada Sukan Komanwel dan kami akan mempamerkan aksi terbaik dan berharap dapat mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir,” kata Soon Huat.

Skuad negara berdepan kritikan daripada penyokong tempatan berikutan prestasi hambar pada kejohanan All England 2018 menyebabkan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria memberi kata dua kepada pemain dan jurulatih supaya meningkatkan prestasi atau berdepan tindakan termasuk digugurkan daripada pasukan kebangsaan.

BAM menyasarkan empat pingat emas daripada skuad negara yang terdiri dalam kalangan 10 pemain pada Sukan Komanwel 2018. – Bernama