Khairul sedar ia bukan satu tugas mudah kerana perlu berada pada tahap paling baik dalam kariernya jika mahu memperbaharui catatan rekod 100 meter (m) kebangsaan, 10.18 saat (s) dan 20.90s dalam acara 200m.

Bagaimanapun, pemenang pi­ngat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) itu tetap optimis untuk melakukannya agar dapat memperbaiki prestasi larian­nya ke satu tahap lebih tinggi.

“Saya memang berazam mahu melakukan larian lebih baik berbanding tahun lepas dan sudah semestinya saya mahu mengekalkan pingat emas pada Sukan SEA 2019.

“Sebagai atlet, saya tidak mahu berasa selesa dengan apa yang ada sekarang. Kalau boleh saya mahu memperbaiki catatan 100m dan 200m, jika ada rezeki,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Jaguh pecut berusia 21 tahun itu dilihat berdepan cabaran sukar untuk mempertahankan kejayaannya di Manila kerana dijangka mendapat tentangan sengit daripada raja pecut remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri.

Bintang sensasi yang menggegar dunia kerana memenangi acara 100m pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2018 itu kini mempunyai catatan masa sama dengan Khairul iaitu 10.19s.

Selain itu, Khairul juga bakal berdepan seorang lagi atlet negara sedang meningkat naik iaitu Muhammad Aqil Yasmin yang berjaya merangkul dua gelaran raja pecut tahun lalu iaitu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018.