Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, walau­pun Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah cuba melakukan yang terbaik bagi mengelak kejadian seperti tahun 2011 tidak berulang, namun ia sekali lagi terjadi baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hamidin tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada PSSI kerana sedar situasi itu di luar jangkaan, namun FAM akan tetap menghantar laporan penuh ber­kenaan kejadian itu kepada FIFA selewat-lewatnya Selasa ini.

“Ada segelintir peminat mempersoalkan kenapa perkara se­perti itu terjadi lagi dan naik kereta perisai Barracuda. FAM telah me­lakukan perbincangan bersama pihak polis Indonesia sebanyak dua kali sebulan sebelum perlawanan dan kali ketiga sebelum hari kejadian, kami telah cuba terbaik tetapi masih berlaku.

“Di Bukit Jalil, saya yakin perkara seperti itu tidak akan berlaku dan saya mohon kerja­sama daripada seluruh peminat agar bersikap profesional. Kita akan menghantar laporan penuh kepada FIFA pada Selasa ini.

“Kalau tanya pendapat saya, elok FIFA gantung Bung Karno (tidak bermain di situ atau stadium kosong) tapi FIFA ada garis panduannya dan perlu berlaku adil kepada semua sebelum membuat keputusan.

“Apa pun keputusan, kita perlu­ serahkan kepada FIFA dan kita faham PSSI telah berusaha keras bagi memastikan perkara ini tidak terjadi tapi kita faham penyokong mereka ramai dan terjadi sekali lagi.

“Perkara ini selalu terjadi hanya­ apabila Indonesia berdepan Malaysia, ini ber­makna ada sentimen dekat sini yang saya tidak boleh jelaskan lebih mendalam,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Terdahulu, Hamidin turun padang bagi menyaksikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Hamidin memberitahu, ba­nyak elemen kesalahan yang terjadi di Gelora Bung Karno dan melanggar syarat-syarat ke­selamatan yang ditetapkan FIFA sebagai negara tuan rumah.

Beliau juga berharap PSSI akan mengambil tindakan keras bagi memberi pengajaran berguna kepada penyokong mereka agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi.

“PSSI perlu buat sesuatu tindakan tegas bagi memberi pengajaran dan mendidik penyokongnya supaya kejadian seperti ini tidak berlaku lagi,” ujarnya.