Bekas pemain No. 1 dunia itu perlu bersaing dengan dua lagi pemain perseorangan yang turut berada di landasan terbaik untuk melangkah ke temasya sukan terbesar dunia berkenaan iaitu Lee Zii Jia dan Liew Daren berdasarkan ranking semasa.

Ketika ini, Zii Jia memegang status sebagai perseorangan lelaki No. 1 negara apabila berada di ranking ke-28 dunia, manakala Daren dan Chong Wei masing-masing di kedudukan ke-29 dan 30 dunia.

Chong Wei yang memburu penampilan kelima pada Sukan Olimpik bagaimanapun bertekad untuk mere­but slot ke Tokyo, selain menganggap pemain terbaik sahaja akan mewakili negara ke temasya berkenaan.

“Semua pemain pastinya memasang impian untuk layak ke Olimpik, jadi saingan tahun ini sangat penting bagi mengutip mata. Sudah tentu saya mahu layak buat kali kelima, namun jika tidak berpeluang saya tidak akan kecewa.

“Saya sudah menjejakkan kaki sebanyak empat kali ke Sukan Olimpik, manakala Zii Jia dan Daren belum pernah ke sana. Bagi saya, pemain terbaik akan pergi ke sana, itu lebih adil,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Berdasarkan peraturan yang ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), setiap negara dibenarkan menghantar dua pemain jika kedua-duanya berada dalam kelompok 16 terbaik dunia, manakala hanya seorang pemain sahaja boleh dihantar jika berada dalam kelompok 38 terbaik.

Chong Wei yang merupakan pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik menegaskan, semua pihak tidak boleh memandang rendah pencapaian pemain-pemain lain biarpun tidak diletakkan harapan membawa pulang pingat buat kontinjen negara.

“Kita tidak boleh cakap pemain lain tidak ada kemampuan merangkul pingat kerana kita pernah menyaksikan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menyumbang pingat perak pada Sukan Olimpik 2016, jadi apa sahaja boleh berlaku.

“Apabila beraksi pada kejohanan besar seperti Olimpik, kadang-kadang banyak berlaku kejutan ke atas pemain-pemain ternama,” tambah Chong Wei.

Sementara itu, pemain berusia 37 tahun berkenaan memberi gambaran untuk beraksi pada kejohanan Terbuka Malaysia April depan sekiranya diberikan kebenaran oleh doktor.