Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek mengakui melihat ‘sesuatu’ pada diri empat pemain negara iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei dan Tan Jin Wei yang boleh terus digilap keistimewaan mereka di atas gelanggang.

Misbun tidak mahu pemain-pemain ini menyalin bulat-bulat corak permainan dan identiti jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei kerana padanya setiap pemain berbeza dengan cara tersendiri dan itu merupakan kunci penghasilan bintang badminton dunia.

Bagaimanapun, beliau mahu pemain-pemain muda ini mencontohi semangat bekas pemain No. 1 dunia itu yang sentiasa dahagakan kemenangan dan mengambil serius setiap kejohanan biarpun kini sudah mencecah usia 36 tahun.

“Chong Wei berkemungkinan besar tidak lagi bertanding pada Piala Thomas edisi dua tahun lagi, jadi saya telah membayangkan empat pemain perseorangan yang mungkin akan mewakili negara.

“Sepanjang penyertaan negara pada Piala Thomas ini, saya kagum dengan cara Zii Jia mengawal permainan terutama ketika berdepan dengan pemain Denmark.

“Jun Hao juga kelihatan agak gementar pada awal saingan menentang pemain Algeria, namun berjaya mengatasinya dengan baik.

“Saya dapat lihat mereka sangat bersungguh-sungguh untuk menang dan banyak kali saya minta mereka bertenang, namun masih bersemangat juga,” jelasnya.

Selain itu, Misbun juga mendedahkan bahawa niatnya untuk menjadikan Iskandar Zulkarnain sebagai ‘adi wira’ pada peringkat suku akhir tidak kesampaian setelah pasukan Indonesia sempat mengumpul 3 mata.

“Sebenarnya, corak permainan Iskandar ketinggalan lima tahun ke belakang dan dia masih lagi cuba membiasakan diri dengan strategi dan taktikal baharu.

“Saya masukkan dia ke dalam skuad Piala Thomas kerana dia memberikan kerjasama baik selain mahu menggunakan pe­ngalamannya untuk membimbing pemain-pemain muda,” jelasnya.