Bagaimanapun, peluang pelumba berusia 25 tahun itu untuk terus kekal dalam saingan MotoGP masih cerah, namun Hafizh yang turut dikenali dengan gelaran EL Pescao itu mungkin perlu diturun­kan pangkat ke kancah saingan Moto2 semula.

Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali (gambar kecil) selepas dipercayai sekurang-kurangnya terdapat dua tawaran yang sedang menanti Hafizh pada musim depan.

“Berkenaan dengan pengumuman Brad Binder ke MotoGP bersama pasukan Tech3 bagi musim 2020, sudah pasti ia akan menjejaskan peluang Hafizh untuk ber­aksi di MotoGP (kelas utama). Saya merayu kepada peminat sukan ini dan juga Hafizh supaya bertenang.

“Semasa cuti musim panas ini terdapat ramai pelumba keluar masuk mencari pasukan baharu bagi musim 2020. Saya yakin Hafizh akan kekal beraksi dalam saingan MotoGP, tetapi peluang untuk dia beraksi dalam kelas utama mungkin sukar kerana ketika ini tiada kekosongan dalam pasukan-pasukan lain.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa peluang dan tawaran yang tersedia untuk Hafizh dalam kelas Moto2. Saya yakin Hafizh akan membuat keputusan yang tepat dan kami di SIC akan melakukan yang terbaik untuk membantunya,” kata Raz­lan yang juga Prinsipal pasukan Yamaha Sepang Racing Team (SRT).

Sebelum ini, pasukan Yamaha SRT telah mengikat kedua-dua pelumba utamanya, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo hingga musim 2020, sekali gus melenyapkan impian Hafizh untuk beraksi bersama pasukan MotoGP pertama negara itu musim depan.

Hafizh mempamerkan prestasi cemerlang pada penampilan sulungnya musim lalu ketika pasukan Tech3 menggunakan jentera Yamaha dengan berada pada kedudukan ke-16 keseluruhan, selepas mengumpul 46 mata selain muncul sebagai pelumba baharu kedua terbaik.

Namun, selepas Tech3 membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Yamaha dan menggunakan jentera KTM, pres­tasi Hafizh dilihat merosot.

Dia masih bergelut dengan jentera KTM RC16 dan hanya mampu mengutip tiga mata musim ini selepas menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-14 di GP Perancis, Mei lalu dan ke-15 pada GP Belanda di Litar Assen Jun lepas.

Situasi itu me­nyaksikan dia ber­ada di kedudukan ke-24 daripada 26 pelumba ke­seluruhan pada musim ini.