Beliau yang keluar daripada persaraannya demi mengharumkan nama Malaysia di pentas temasya Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang, sekali lagi dikecewakan selepas meraih pingat perak dalam acara dressage individu yang berlangsung di Taman Ekuestrian Antarabangsa Jakarta, hari ini.

Pada aksi final itu, Mohd Qabil terpaksa berpuas hati setelah mata yang dikumpulnya iaitu 76.620 gagal menyaingi atlet Hong Kong, Wing Ying Siu yang mengutip 77.045 untuk merangkul emas sementara atlet Korea Selatan, Kim Hyeok membawa pulang gangsa dengan catatan 75.705 mata.

Mohd Qabil yang pernah memenangi dua pingat gangsa dalam acara itu pada edisi Sukan Asia 2006 di Doha dan 2010 di Guangzhou berkata kejayaan ini merupakan pencapaian terbaiknya, namun mengakui kecewa kerana hanya dipisahkan dengan jumlah mata yang tipis.

"Setakat ini saya berpuas hati tetapi lebih baik sebenarnya kalau dapat pingat emas. Saya agak sedih pasal jarak markahnya agak sedikit bezanya antara pemenang pingat emas dan saya, namun ini semua kuasa tuhan dan saya menerimanya.

"Permulaan saya (aksi) agak sedikit tegang dan stress jadi mungkin ia mempengaruhi markah yang diberikan juri. Ia adalah sukan subjektif seperti semua tahu jadi markah itu terpulang kepada juri - kalau dia sukakan lagu kita dan rutin kita," katanya ketika ditemui media Malaysia selepas tamat acara final di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, pemenang 11 pingat emas dalam temasya Sukan SEA itu mengakui beliau tidak meletakkan sebarang sasaran pada edisi kali ini terutama selepas baru setahun kembali daripada persaraannya.

"Ia bukan sesuatu yang mudah untuk keluar daripada persaraan dan beraksi tanpa latihan serta tempoh waktu yang cukup tetapi saya bersyukur kerana sokongan padu ibu-bapa yang membantu dari segi dana untuk menghantar saya ke sini," tambahnya.

Mohd Qabil akan meneruskan cabaran negara apabila turun beraksi dalam acara melompat individu yang akan bermula Isnin depan. - Bernama