Program berkenaan membawakan lima pemain bawah 15 tahun (B-15) Malaysia untuk mengambil pengalaman berlatih seterusnya beraksi berdepan Akademi Kelab Bola Sepak Profesional Liga 1 Jepun, Cerezo Osaka di Osaka, Jepun Sabtu ini.

Hamada menjelaskan, Yakult telah membuka laluan kepada lima pemain B-15 negara itu untuk menambat hati jurulatih serta pencari bakat dari Jepun seterusnya mengharapkan sekurang-kurangnya salah seorang daripadanya mampu mengikut jejak langkah Hadi Fayyadh yang telah menyertai kelab Liga Profesional 2 Jepun, Fagiano Okayama tahun lalu.

"Kriteria untuk sertai kelab Jepun sangat ketat, namun saya harap ada daripada lima pemain ini akan terpilih untuk kekal bersama Cerezo dan mengikuti latihan mereka. 

"Jika mereka terpilih nanti, tidak mustahil juga Cerezo akan memperkenalkan pemain tersebut kepada kelab lain. Saya tidak boleh beri jaminan sama ada lima pemain tersebut berpotensi untuk diserap masuk atau tidak.

"Bagaimanapun, kami (Yakult) akan sentiasa bersedia dan memberikan sokongan kepada pemain muda Malaysia untuk mengasah bakat di sini," kata Hamada ketika majlis makan malam bersama Hadi Fayyadh di Okayama, di sini sebentar tadi.

Lima pemain negara tersebut adalah Raja Haikarl Raja Zahari dan Danial Haiqal Shaipol dari Akademi Mokhtar Dahari yang merupakan produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP); Afiq Norizan (Sekolah Sukan Negeri Melaka); Farizzudin Adham Batcha (Sekolah Sukan Negeri Selangor); dan Anas Nadawi Shaharudin (Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi). - K! ONLINE