Pemain berusia 34 tahun dari Brazil itu yang menanduk gol kemenangan pasukan 2-1 ke atas Kedah pada perlawanan Piala Sumbangsih Sabtu lalu, berkata beliau gembira dapat kembali beraksi buat pertama kali selepas direhatkan selama enam bulan akibat kecederaan.

"Saya sangat gembira dapat menyumbat gol kemenangan terutamanya kerana ia berlaku selepas saya baru pulih daripada kecederaan, apatah lagi dapat menang satu lagi piala untuk diri sendiri dan juga JDT.

"Saya gembira kerana semua orang tahu saya bekerja keras sepanjang enam bulan lepas sebagai persiapan menghadapi perlawanan ini dan membantu kelab meraih satu lagi kejuaraan," katanya yang dipetik dalam satu temu bual yang dimuat naik oleh  laman Facebook rasmi JDT: Johor Southern Tigers.

Marcos tidak sabar untuk membantu skuad Harimau  Selatan itu mencapai sasarannya dalam Liga-M khususnya mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenangi sejak 2014.

Pemain berkaliber tinggi itu menikmati musim yang gemilang sejak menyertai JDT pada 2014 termasuk bergelar juara Liga Super empat musim berturut-turut, Piala AFC (2015), Piala FA (2016) dan juga juara Piala Malaysia tahun lepas. - Bernama