Pelumba Monster Yamaha Tech3 tersebut merekodkan catatan 10 terbaik pada sesi latihan rasmi di Litar Masaryk, Brno, Republik Czech minggu lalu, sekali gus mengakui semakin selesa mengemudi jentera Yamaha YZR-M1 miliknya itu.

“Saya akui semakin yakin menunggang jentera ini terutama pada sistem elektronik. Sebelum ini, saya berdepan masalah dan bekerja keras untuk mengawalnya dengan baik tetapi ketika di Brno, kami me­nemui sesuatu yang baik dan saya lebih tenang mengawalnya.

“Kini motivasi saya semakin tinggi menjelang saingan di Austria nanti. Selain untuk menambah pengalaman dalam saingan perdana, fokus saya tetap untuk meraih mata sebanyak mungkin bagi mencapai matlamat untuk muncul sebagai pelumba rookie terbaik.

“Sudah pasti saya akan be­kerja untuk mendapatkan hasil yang positif di Austria dan saya akui tidak sabar untuk memulakan saingan di Litar Spielberg,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hafizh kini menduduki tangga ke-16 dunia dalam carta kedudukan kelas perdana selepas mengutip 24 mata dan diikuti rapat Franco Morbidelli di kedudukan ke-17. Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez kekal sebagai pendahulu perlumbaan dengan 181 mata.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara yang beraksi dalam saingan Moto3, Adam Norrodin mahu mengubati kekecewaannya minggu lalu selepas terlepas mengutip mata apabila terjatuh pada pusingan terakhir di Brno.

“Saya kecewa dengan apa yang berlaku di Brno. Saya akan bekerja keras untuk mendapatkan catatan terbaik pada sesi kelayakan nanti untuk berada di barisan empat terbaik,” ujarnya.

Sepanjang 10 perlumbaan musim ini, pelumba Petronas Sprinta Racing tersebut gagal menamatkan empat perlumbaan, sekali gus berada di kedudukan 20 dunia dengan mengumpul 24 mata.