Hafizh Syahrin me­ngakui banyak cabaran perlu ditempuhinya ketika beraksi pada perlumbaan Moto2 pada tahun 2012, namun pengalaman bangkit daripada kegagalan telah membentuk dirinya menjadi seorang pelumba lebih matang.

Pada usia 24 tahun, Hafizh Syahrin melakar sejarah apabila muncul pelumba tempatan pertama di peringkat Asia Tenggara beraksi dalam perlumbaan kelas perdana MotoGP musim lepas.

Lebih membanggakan, peluang yang diberikan itu telah dimanfaatkan dengan baik selepas dia muncul pelumba baharu kedua terbaik dunia pada musim 2018.

“Dua tahun lalu, kita ada empat pelumba tempatan, tahun lepas tiga orang dan tahun ini tinggal kami (Hafizh Syahrin dan Khairul Idham Pawi) berdua sahaja pada saingan MotoGP. Bukan makin bertambah tetapi semakin berkurangan.

“Saya faham dengan keputusan pasukan ma­sing-masing. Saya berharap pelumba lain di luar sana perlu bangkit dan perbaiki diri serta fokus dengan tujuan perlumbaan,” katanya baru-baru ini.

Sebagai pelumba sepenuh masa, Hafizh Syahrin berkata, dia perlu memikirkan masa depan yang lebih baik dan tidak mahu kariernya sia-sia hanya kerana masalah disiplin diri.

Pada musim ini, Hafizh akan mewakili pasukan Red Bull KTM Tech3 pada saingan MotoGP, manakala Khairul Idham bersama Petronas Sprinta Racing Team untuk saingan kelas Moto2. – Bernama