SRT melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi perlumbaan Pusingan 2 EWC selepas turut memanggil pelumba bekas juara dunia Moto2, Franco Morbidelli serta juara perlumbaan 8 Jam Suzuka, Michael van der Mark.

“Saya sangat berharap untuk mengambil bahagian dalam perlumbaan EWC pertama di Malaysia. Bagaimanapun, perlumbaan endurance ini bukan saingan pertama saya kerana sebelum ini saya pernah beraksi di perlumbaan 8 Jam Suzuka. Di Sepang nanti sudah pasti adalah cabaran yang berbeza kerana saya akan beraksi di hadapan penyokong sendiri.

“Ia adalah satu peluang yang sangat baik bagi saya untuk me­nguji ketahanan fizikal saya kerana ia akan menjadi perlumbaan yang sangat lama dengan cuaca yang panas. Perkara yang paling pen­ting ialah bagaimana kami bekerja dalam satu pasukan.

“Saya akan lakukan sebaik yang mungkin kerana pasukan SRT mempunyai barisan pelumba yang hebat dan saya sangat teruja untuk berkongsi jentera dengan Morbidelli serta van der Mark,” kata Hafizh dalam satu kenyataan semalam.

Pada perlumbaan itu nanti, pasukan SRT akan menggunakan jentera Yamaha YZF-R1 dengan bantuan daripada pasukan berpe­ngalaman dalam saingan endurance iaitu Yamaha Austria Racing Team.